Assalamualaikum wbr
ana terbaca kisah ni membuatkan hati ni terdetik untuk berkongsi... begitu hebat CINTANYA.. adakah cinta kita sampai ke tahap itu???
Hari-hari berlalu yang
dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya
baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku
sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha
berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita
benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam
gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan
tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah.
Aku hanya seorang
Insyirah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang
begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama
seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak
juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah,
aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa
bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain.
Aku bukan seperti
bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah
Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi
pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku
hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga
sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian,
Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini.
Sejak dari hari
istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin
benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari
manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku
bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku
belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam
penantian.
Ibu bertanyakan soalan
yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.
"Hari menikah
nanti nak pakai baju warna apa?"
Aku menjawab tenang..
"Warna putih, bersih..."
"Alhamdulillah,
ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat."
"Ibu, 4 meter
sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan."
Ibu angguk perlahan.
Beberapa hari ini, aku
menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh
nubari aku sebagai hamba Allah. Malam Pertama... Sukar sekali aku ungkapkan
perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku
ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar
menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh
ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah.
Sejak hari pertunangan
itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang
aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan
tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam
tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia
menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu
pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang
yang mendahului.
"Kak Insyirah,
siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?"
Aku tersenyum,
mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan
tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah
bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga.
"Insya Allah,
'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling
utama."
Berita itu juga buat
beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang
perlu diraikan. Aku tersenyum lagi.
"Jangan lupa
jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!"
Aku hanya tersenyum
entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus
tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan
'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku
apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran,
tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan
akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu.
"Bila enti
menikah?"
Aku tiada jawapan
khusus.
"Insya Allah,
tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat
itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya.
"Jemput ana
tau!" Khalilah tersenyum megah.
"Kalau enti tak
datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak!" Itu saja
pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh
semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai
insan berkecil hati.
"Insya Allah,
kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..."
Rahsia ku adalah
rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya
termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu
tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya
siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu...
"Usah berlebihan
ya..."
Ibu angguk perlahan
dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata.
"Insyirah, jom
makan!"
Aku tersenyum lagi...
Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman.
"Tafaddal, ana
puasa."
Sahabiah juga semakin
galak mengusik.
"Wah, Insyirah
diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?"
"Bukan diet, mahu
mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi."
Sehingga kini, aku
tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti
hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk
hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam
berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja.
.......................................
"innalillahi
wainna ilaihi rajiun..."
"Tenangnya...
Subhanallah. Allahuakbar."
"Ya Allah,
tenangnya..."
"Moga Allah
memberkatinya...."
Allah, itu suara
sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu.
Akhirnya, aku selamat
dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis
walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri.
Akhirnya, mereka
ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah. Akhirnya, mereka kenali
sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum. Akhirnya, mereka
sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku.
Dalam sedar tidak
sedar...
Hampir setiap malam
sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis
sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya
pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya
Tuhan yang tahu.
"Ya Allah, telah
Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau.
Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia
sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam
majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau
sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku
ketahui..."
Akhirnya, Khalilah
bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian...
"Insyirah
bertunang dengan siapa, mak cik?"
Ibu tenang menjawab...
"Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada
tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata
doktor, Insyirah hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya
membunuh."
"Allahuakbar..."
Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan.
"Buku yang sering
dibacanya itu, malam pertama..."
Ibu angguk, tersenyum
lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan
Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'.
"Ya Allah, patut
la Insyirah selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik."
"Dan sejak dari
hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu
mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan..."
Khalilah masih kaku.
Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah
yang diberikan oleh ibu.
"Satu cincin ini
aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai
sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti
tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang
menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman
dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil
'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim,
seteguh dan setabah hati seorang ibu."
* Kisah ini bukan
kisah ana (Insyirah), ianya kisah KITA (semua yang sedang membaca/tak) *
Mulai hari ini, jangan
bersoal tika melihat ana memakai cincin. Kerana, ana sudah bertunang! Bertunang
dengan kematian, tidak tahu bila ana akan dinikahkan dan tidak tahu bagaimana
rezeki di malam pertama. Tetapi, sekurang-kurangnya apabila sudah dirisik dan
bertunang, kita sama-sama akan mempersiapkan diri sebaik-baiknya walaupun bukan
yang terbaik untuk hari pernikahan dengan KEMATIAN. Wallahua'lam.
Cukuplah kematian itu
mengingatkan kita... Cukuplah kita sedar kita akan berpisah dengan segala
nikmat dunia. Cukuplah kita sedar bahawa ada hari yang lebih kekal, oleh itu
sentiasalah berwaspada. Bimbang menikah tergesa-gesa, tahu-tahu sudah disanding
dan diarak seluruh kampung walau hanya dengan sehelai kain putih tak berharga.
Setidak-tidaknya,
Insyirah (watak di atas) sudah 'membeli' baju pernikahannya... Arh... Untungnya
Insyirah. (Cemburu! Cemburu! Cemburu!)
~ Kullu nafsin za'iqatul maut ~
No comments:
Post a Comment