Cinta itu letaknya di
hati dan hati itu milik Allah. Tidak mungkin kita dapat menyentuh hati
seseorang tanpa izin Allah dan jika Allah tidak mengkehendaki. Tidak patut kita
serahkan hati kita yang dimiliki Allah itu kepada orang lain untuk dikuasai
atau diperintah. Bahkan memang sepatutnya kita serahkan jiwa dan raga kita
seluruhnya kepada Allah. Adapun rasa cinta yang lahir sesama manusia itu hanya
jalan menuju cinta Allah. Janganlah sekali-kali kita menukarkan tujuan cinta di
hati yang sepatutnya untuk Allah kepada manusia hanya kerana kita dapat melihat
kecantikan manusia dan kita tidak dapat melihat Allah, kita cuma merasa dan
melihat kecantikan segala ciptaan-Nya. Kita lupa dan selalu tidak sedar hakikat
segala kecantikan itu adalah milik Allah. Jadikanlah cinta kepada manusia itu
sebagai jalan menuju Tuhan, bukan matlamat dan pengakhiran destinasi cinta.Maka engkau akan lebih
tenang menerima segala penolakan.
Hati kita meronta
untuk mencintai dan dicintai. Alangkah remuk redamnya hati tatkala apa yang
kita cintai tidak kita miliki. Alangkah kecewanya jiwa tatkala cinta kita tidak
dibalas oleh orang yang kita cintai. Ternyata hati itu bukan milik
kita, ia milik Allah. Kita tidak bersalah tatkala cinta itu lahir terhadap seseorang,
tetapi kita keterlaluan tatkala kita memaksa ia kepada seseorang.Bukankah sepatutnya
kita redha dengan ketentuan Allah yang tidak menumbuhkan cinta terhadap kita di
hati orang yang kita cintai?Alangkah zalimnya kita tatkala kita tidak dapat menerima apa
yang telah ditetapkan oleh Allah. Sedangkan saban hari kita sering tidak
menghargai cinta Allah, kita tidak pula membalas segala anugerah cinta yang
Allah berikan kepada kita pada setiap hembusan nafas, pada setiap detik
kehidupan yang kita lalui. Bukankah Allah lebih layak untuk murka kepada kita
kerana kita tidak membalas-Nya dengan ketaatan yang sepatutnya?
Allah menjanjikan
lelaki yang baik untuk perempuan yang baik. Yakinlah akan janji Allah,
sesungguhnya Allah tidak memungkiri janji. Perbaikilah setiap inci
kehidupanmu agar engkau termasuk di kalangan orang yang beroleh pasangan yang
baik. Allah tahu tentang dirimu lebih daripada engkau sendiri. Maka Allah telah menetapkan untukmu lebih baik
daripada apa yang engkau kehendaki. Boleh jadi engkau cintakan sesuatu tetapi
ia buruk bagimu dan begitu juga sebaliknya. Pada setiap persimpangan
kehidupanmu, apakah engkau merasakan bahawa Allah tiada bersamamu? Bahkan dia
sentiasa mendengar dan melihatmu. Persoalannya, apakah engkau sudah merintih
pada-Nya, meminta pada-Nya dan memperlihatkan apa yang sepatutnya kepada –Nya?
Aku berlindung dengan Allah daripada menjadi hamba yang kufur dan lupa diri.
Sungguh cinta itu
telah menjadi faktor yang dapat mengubah sesuatu kepada lebih baik atau
sebaliknya. Ada manusia biasa yang berubah menjadi wali kerana kuasa cinta, dan
ada pula yang bisa menjadi hina kerana dikuasai cinta. Ya, tamadun itu
berkembang dan boleh jadi hancur kerana cinta. Tidakkah engkau melihat Taj
Mahal yang terbina kerana cinta? Sebaliknya, ada pula yang membunuh kerana
cinta. Persoalanku kepadamu, apakah engkau ingin berubah kerana cinta ke arah
Redha Allah atau mungkin lebih jauh daripada Allah?
No comments:
Post a Comment