oleh : @serikandi sufi
Bismillahirrahmanirrahim...
Perkongsian dari seorang sahabat..
Harap sama-sama ambil iktibar..
Wallahu'alam..
Pendahuluan
Bernikah adalah sesuatu yang menggembirakan. Jarang orang tidak bergembira pada hari pernikahan mereka. Masakan tidak, gelaran raja sehari disandang dan dijulang. Bagi pasangan yang sudah lama bertunang, detik persetujuan para saksi semasa majlis pernikahan amatlah melegakan!
Kadang-kadang, keluar air mata kegembiraan dari pasangan pengantin kerana terlalu gembira telah menyempurnakan sebahagian agama dan menuruti sunnah nabi. Seperti mana yang disabdakan oleh Nabi :
nikah itu adalah sunnah ku, jika sesiapa yang menolak sunnah ku, maka ia bukanlah dari golonganku.
Namun awas, jangan disangka kegembiraan menuruti sunnah nabi itu membuka jalan ke syurga semata-mata, kerana ia juga mampu mengheret kita masuk ke dalam jurang neraka yang dalam lagi menakutkan, jika ia tidak dilaksanakan seperti yang diperintahkan.
2.0 Menangis bertukar gembira
Apabila dua merpati sejoli di ijab kabulkan... maka bergembiralah kedua-dua keluarga, dan menangislah sang syaitan. Menangisnya sang Syaitan adalah kerana tertutupnya peluang kepadanya untuk memujuk si lelaki dan si perempuan melakukan zina.
Tapi, adakah anda menyangka syaitan yang menangis melihat dua orang yang bernikah itu akan lari merajuk membawa diri? Tidak sama sekali, di hadapan sana ternanti banyak lagi perangkap untuk mereka. Satu persatu perangkap itu mengena, dan tangisan syaitan terhenti dan diganti pula dengan ketawa yang terbahak-bahak!
Sang Syaitan ketawa kerana geli hati melihat si pasangan yang terlalu gembira hingga terlupa segala ajaran agama walaupun kedua-duanya mengaku sebagai pejuang agama. Habis ditolak tepi agama yang selama ini menjadi perjuangan mereka. Syariat diletak tepi, adat yang sesat dijulang tinggi.
Sang Syaitan gelak terbahak-bahak melihat aksi manja si isteri menyuapkan nasi ke mulut si suami yang hanya layak menjadi koleksi peribadi mereka berdua menjadi tontonan semua orang. Habis ditolak tepi perasaan malu. Malah dibanggakan pula kenangan itu dengan meng'upload' kan pula di dalam facebook, untuk tatapan seluruh dunia. Kalau boleh, biar Presiden Amerika Barrack Obama tahu dia berkahwin hari itu dan makan bersuap dengan bangga.
Sang Syaitan bertambah galak gembira ketawa melihat si suami dengan ghairah mencium kepala si isteri tanpa menghiraukan puluhan mata yang menyaksikan adegan sulit ini. Malah bangga pula mengulang adegan ini apabila diminta photographer upahan dari kedai yang berdekatan. Diulang tayang tanpa segan, walaupun si muslimah itu dahulunya terkenal sebagai seorang yang paling pemalu dalam dunia ini.
Sang Syaitan hampir pecah perut suka sambil berguling-guling dengan adegan romantik si suami dan si isteri yang bergambar di tepi pantai, atas pokok, di sawah padi, dalam air, atas katil, tepi rumah dengan pelbagai pose yang difikirkan menarik. Entah mana silapnya, suara lantang si suami yang beriya-iya mahu menegakkan daulah islamiah dalam liqa dan usrah yang dikendalikannya, langsung tidak berbunyi bila gambar isterinya puas di raba oleh kamera orang yang bukan muhrim. Segala sisi bentuk isterinya habis dilapah oleh si photographer yang kemudiannya menguploadkannya di laman web untuk ditatap oleh seluruh isi dunia.
Sang Syaitan kembali suka kerana berjaya memujuk si isteri yang terkenal dengan kepakaran membimbing usrah dan tamrin serta kuat berdakwah untuk bersolek dengan tebal. Habis hilang prinsip bersolek hanya untuk suami yang dijajanya kesana kemari di alam kampus dahulu. Kening dicukur sedikit, gincu dilanyak atas bibir, eye shadow, blusher, powder, maskara dan segala macam perhiasan bertenggek di mukanya. Itu belum dicampur dengan minyak wangi yang menarik perhatian segala makhluk yang ada di persekitarannya. Bila ditanya mengapa berbuat demikian, jawapan acuh tak acup diberikan.. mak yang suruh.
Itu belum dikira dengan majlis persandingan serta suasana majlis perkahwinan yang begitu mewah dan membazir.Syaitan kembali tersenyum gembira.
3.0 Gembira bertukar Menyesal
Kadangkala, apabila sudah menjadi kebiasaan kita melakukan sesuatu perkara, tiba tiba datang pula satu peringatan memberitahu bahawa kebiasaan kita itu tidak benar, menyeleweng dan jauh dari panduan agama... kita akan cepat melenting, marah dan menyampah.
Apatah lagi sememangya selama ini terkenal sebagai juru dakwah yang popular. Berceramah pula di masjid dan surau. Maka pasti si juru dakwah itu segera mencari sebanyak mungkin kitab dan dalil untuk menghalalkan kebiasaan yang dia lakukan itu. Ahh.. mana boleh pendakwah seperti aku ditegur, malulah aku.
Maka dicapailah Mr Google mencari dalil menghalalkan perbuatannya. Bila tidak bertemu, dicarikan pula pendapat-pendapat yang 'gharib/asing' walaupun dari sumber-sumber yang tidak diyakini, asalkan mampu untuk menjadi hujah pelepas dari teguran yang diberikan.
Janganlah bersikap demikian ya akhi wa ukhti. Renungkan seketika majlis perkahwinan itu. Benarkah itu majlis yang dirahmati Allah ataupun dibenci oleh Allah. Jawablah dengan hatimu berpandukan kepada Nas yang benar lagi sahih. Sengaja tidak ditaburkan dalil dari Al-Quran dan As-Sunnah dalam artikel ini (walaupun dalilnya terlampau banyak) supaya anda dapat menilai dengan penuh berhati-hati majlis pernikahan itu dengan hati nuranimu yang suci itu.
Jangan sampai pada suatu hari nanti, kegembiraan yang dinikmati bertukar menjadi satu penyesalan yang tidak terperi. Tetkala seluruh harta, sahabat handai dan kaum keluarga tidak lagi mampu menjadi pendinding dan hujah bagi dirimu... yang ada hanyalah iman yang senipis bawang itu. Mampukah untuk menepis dosa bertimbun yang tiba kerana kealpaan mengikuti arahanNya di hari pernikahan tersebut?
Ingatlah kembali firman Allah dalam Surah Syuaara ayat ke 88 : iaitu di hari dimana tidak berguna harta dan anak-anak.
Adakah berani kita berbetah pada hari tersebut dengan hujah yang rapuh seperti mengatakan terpaksa mengikut permintaan ibu dan ayah , kaum kerabat serta sahabat handai, walaupun kita tahu permintaan untuk bersolek tebal, bersanding di hadapan orang ramai, adegan mencium, bergambar dengan posing-posing yang sulit, itu semua jauh dari panduan Islam. Namun, jika anda yakin mampu berhujah dan memberikan alasan di hadapan tuhan Rabbul Jalil, silakanlah melakukannya...
4.0 Penutup
Tugas seorang pendakwah ialah menyampaikan ilmu yang dipelajarinya untuk kembali kepada Allah. Tidak lebih dari itu. Samada perkara yang disampaikannya mampu mengubah orang yang mendengar dan membaca, itu bukannya kerja pendakwah. Itu kerja Allah.
Jangan pula timbul celaan dan kata nista selepas ini kepada orang yang menyampaikan seruan Islam ini, hanya kerana terkena pada batang hidung sendiri. Apatah lagi mengherdik dan memerli dengan kata-kata yang pedih lagi menyakitkan seperti , "Ko tak menikah lagi, bolehlah sembang. Tengok ar nanti bila ko kahwin...Macamana pula gayanya!" sambil tersenyum sinis bercampur geram.
Dan jangan pula bertindak mendoakan agar si pendakwah turut terjerumus dalam dosa yang sama supaya bila si pendakwah itu terbuat dosa yang sama, maka bolehlah diejek dan ditempik sekuat mungkin hingga di dengar seluruh penghuni dunia " Ceh, cakap orang lebih, kau pun sama aje!" dan berlalu dengan perasaan puas dan gembira.... kerana dendamnya telah berbalas.
Sesungguhnya, Aku hanya menyampaikan peringatan dari Allah dan risalah-Nya. Dan barangsiapa yang mendurhakai Allah dan Rasul-Nya maka sesungguhnya baginyalah neraka Jahannam, mereka kekal di dalamnya
Nawas sam'an al-anshari meriwayatkan: Aku bertanya kepada rasulullah tentang kebaikan dan dosa. Baginda menjawab, "kebaikan adalah akhlak yang baik dan dosa adalah apa yang datang dari dorongan hatimu dan engkau tidak suka orang lain mengetahuinya"..
Hadis Riwayat Muslim.
No comments:
Post a Comment