Saturday, October 30, 2010

PASRAH SEGALANYA

Ada waktu, kita akan merasa bahawa diri kita sangat tersepit. Susah teramat sangat. Seakan hilang segala harapan. Seakan lenyap segala ruang penyelesaian.

Jauh di dalam lubuk hati kita, kita akan rasa kecewa teramat sangat. Rasa ditinggalkan. Rasa diasingkan. Keseorangan dalam masalah yang menimpa tanpa ada sesiapa yang mampu menghulurkan bantuan. Kadangkala, ia adalah masalah peribadi yang kita malu untuk kongsikan.

Akhirnya mula timbul dalam jiwa kita satu perkataan:

PUTUS ASA. Kita rasa segalanya sudah tidak berguna. Segala usaha sudah tidak bermakna. Maka kita pun bergerak mengikut arus kerosakan untuk ‘self destruct’. Jadilah apa hendak jadi. Kita sudah tidak peduli.

Tetapi kita silap.

Allah SWT itu tidak pernah meninggalkan hamba-hamba-Nya.


Hingga sampai ke benteng kesabaran

Tujuan ujian adalah untuk menguji. Sebab itu namanya adalah ujian. Jika ujian itu datang dalam keadaan mudah dilangkau, tidak dinamakan ianya ujian. Ujian semestinya menggegarkan, menggoyahkan, meragut ketenteraman dan menghilangkan kesenangan.

Dalam keadaan ini Allah ingin melihat sejauh manakah keyakinan kita kepada-Nya.

Yang Allah mahu daripada ujian adalah keimanan kita.

Saya sering mengulang ayat 2 dari Surah Al-Ankabut:

“Apakah manusia itu mengira, bahawa mereka akan dibiarkan berkata: Kami telah beriman, sedangkan mereka itu belum diuji?”

Sebab itu, adakah kita mengira, kita akan masuk syurga Allah dengan lenggang kangkung tanpa diuji dengan ujian yang hebat? Kadangkala seakan kita tertolak ke pinggir gaung. Hanya menunggu masa sahaja untuk jatuh walaupun telah berusaha bertahan.

Kita bertanya-tanya, kenapa kita diuji sedemikian rupa?

Ketahuilah, itu hakikatnya adalah tapisan kita ke syurga Allah SWT.

“Apakah kamu mengira, kamu akan dimasukkan ke dalam syurga, selagi belum tiba kepada kamu ujian yang telah didatangkan kepada orang-orang sebelum kamu? Mereka diuji dengan kepapaan dan serangan penyakit serta digoncangkan. Sehingga berkatalah rasul dan orang yang beriman dengannya: Bilakah pertolongan Allah(hendak sampai)?…” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Iya. Diuji sehingga ke pinggiran gaung. Sehingga tergoncang keimanan mereka. Allah nak bantu atau tidak ini? Tetapi mereka itu memilih untuk terus percaya. Apakah jawapan Allah pada akhir ayat itu?

“…(ketahuilah) sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat” Surah Al-Baqarah ayat 214.

Ujian adalah lumrah. Baik diuji dengan bencana, atau diuji dengan dosa yang tidak mampu ditinggalkan.

Tetapi jangan berputus asa. Usaha dan usaha lagi.

Yakin kepada Allah SWT. Berputus asa samalah dengan kita tidak lagi meyakini-Nya. Sebab itu, Allah amat membenci mereka yang berputus asa. Rahmat Allah sudah sangat luas. Justeru di manakah ruang kita hendak berputus asa kepada-Nya?

Kita langsung tiada alasan untuk berputus asa hakikatnya.

Walau terdorong ke pinggir gaung, kita tetap terus yakin kepada-Nya.

Yang terdorong hingga ke pinggir gaung itu sendiri adalah satu ujian.

Maka percayalah.

“Sesekali tidak, sesungguhnya aku bersama Rabbku yang memberikan petunjuk” Surah Asy-Syu’araa’ ayat 62.

‎(¯`v´¯) `•.¸.•´sekiranya dia ( M.S.A ) ditakdirkan untukku,satukanlah hati-hati kami, permudahkanlah urusan kami ‎(¯`v´¯) `•.¸.•´

No comments: