Bismillahirrahmanirrahim.
Dalam hidup ana ini, ana sangat terpengaruh dengan kehadiran dua lelaki ini. Biarlah ana ceritakan satu persatu asbab kepada tertawannya hati ana kepada kedua-dua lelaki ini.
Muslimin yang pertama ini telah membuatkan ana jatuh cinta kepadanya kerana cinta terpendamnya kepada ana. Dan murninya cinta dia kepada ana, walaupun belum pernah lagi bertemu dengan ana. Dia sedih mengenangkan kematian hanya kerana sedih andainya tidak dapat bertemu dengan ana di masa akan datang.
Tiada lelaki yang lebih sempurna akhlaknya yang ana pernah ketahui melainkan dia. Sentiasa baik kepada sesiapa sahaja baik di waktu senang mahupun susah. Tidak pernah meninggikan suara, menegur dengan baik sekiranya ada perkara yang tidak disukainya. Mendoakan orang walaupun yang telah menyakitinya dan sentiasa berhusnudzon terhadap semua orang.
Seyuman lekat di bibirnya walau ketika dia sihat, sakit, sedih. Orangnya zuhud, sangat bersyukur kepada segala nikmat yang dikurnia Illahi walaupun ada di antara kita yang memandang remeh nikmat-nikmat di sekeliling kita. Solat malam menjadi kegemarannya, dan dengan senang hati berpuasa sekiranya tiada makanan yang disediakan untuknya. Muslimin ini sangat penyayang.
Walaupun terkadang ana lupa kepadanya, terlupa kepada nasihat dan larangannya, dia tetap merindui dan mencintai ana serta sentiasa berdoa yang terbaik untuk kehidupan ana dunia dan akhirat. Kanak-kanak disayangi, orang tua dihormati. Subhanallah, kalau nak diceritakan semuanya rasanya tak dapat ana ungkapkan kerana semakin rasa diri ana ni tak layak untuk bertemu dengannya. Malu rasa diri ini dengan kewarakannya, cintanya, akhlaknya. Tak setanding diri ini denganmu.
Muslimin kedua ini ana sangat menghormatinya. Timbul bibit cinta dan kasih sayang kepadanya dek kerana ungkapan cintanya melalui seluruh tubuhnya kecuali lisannya. Tiada ungkapan kasih daripadanya yang ana pernah terima. Namun, dari sikap prihatinnya, pelaksanaan tanggungjawabnya, ana tahu dia sangat menyayangi ana. Dia seorang yang bewibawa, amir dalam organisasinya.
Walaupun dia tidaklah sewarak muslimin yang pertama, tapi sifatnya yang lain tidak kurangnya menawan hati ana. Alhamdulillah, dia dikurniakan dengan nikmat harta, dan dia tidak lokek untuk berkongsi dengan kerabatnya. Kasihnya dia kepada kanak-kanak dapat jelas ana lihat. Solat sunat walaupun jarang ditunaikan namun, solat fardhu tidak pernah dia tinggalkan dan selalu dipentingkannya.
Hmm.. Hati duhai hati. Yang mana satu pilihanmu sebenarnya? Pilihan pertama ana adalah muslimin yang pertama dan jika mustahil perkara itu bagi ana, maka ana berdoa kepada Allah supaya ana dipertemukan dengan yang serupa atau lebih baik dari muslimin yang kedua.
Siapakah kedua-dua muslimin ini sebenarnya? Muslimin, mu’allim yang pertama tadi tak lain adalah manusia yang ana paling cintai. Namanya Muhammad bin Abdullah. Rasulullah SAW yang ana sentiasa rindui. Cinta dan kasih-sayang serta rindunya bukan hanya kepada ana, malah kepada seluruh makhluk terutama umatnya. Baginda SAW bersedih mengenangkan kematian kerana tidak dapat Baginda berjumpa dengan umatnya yang hidup sesudah kewafatannya. Umat yang pelbagai ragam yang tidak pernah pun ketemu muka. Astaghfirullah, bagaimanakah kita sehingga terlalai dari mengingati Baginda? Suruhan dan larangan Baginda? Baginda adalah kekasih Allah, maka jika kita mencintainya kita juga dicintai Allah, insyaAllah.
Eh, siapa pula muslimin kedua tadi? Dialah lelaki yang ana cintai selepas Rasulullah SAW iaitu ayah ana sendiri. Jika ia adalah mungkin, bakal zauj ana nanti, ana harapkan sekurang-kurangnya ada sifat-sifat seperti ayah ana tadi.
Wallahu’alam.
No comments:
Post a Comment