Wednesday, January 12, 2011

Bicara Tentang Cinta


Bicara Tentang Cinta
Jarang orang berbicara tentang cinta , rindu dan cemburu. Ramai juga yang
selalu terlalu prejudis terhadap cinta. Menganggap cinta dan rindu sebagai suatu
perkara yang buruk dan menjijikkan. Golongan yang paling ramai berpandangan
sedemikian ialah para remaja. Malah golongan remaja jugalah yang menyalah
ertikan tentang maksud cinta dan rindu sehingga terlalu berlebih-lebihan di
dalam melaksanakan maksud cinta yang dicipta oleh mereka dengan melakukan
perkara-perkara maksiat. Tidak dapat dinafikan ada yang sanggup berzina
dengan pasangannya hanya dengan menggunakan istilah “ cinta” dan “rindu”.
Mungkin kerana wujud golongan yang menyalahgunakan erti sebenar cinta ,
maka golongan remaja yang menjaga peribadi mereka juga turut memandang
serong terhadap cinta.


Cinta juga makhluk. Rindu juga makhluk ciptaan Allah taala. Seseorang akan
menjadi musuh terhadap sesuatu yang dia tidak kenali dengan mendalam. Kalau
ingin membenci cinta maka sepatutnya perlu berlaku adil padanya. Perlu kenal
apa itu cinta terlebih dahulu. Perlu kenal apa itu rindu terlebih dahulu.
Cinta, rindu dan cemburu merupakan tiga perkara yang tidak boleh kita nafikan
kewujudannya. Ketiga-tiga perkara ini wujud di dalam hati sanubari seseorang.
Ianya juga banyak membantu di dalam kehidupan seseorang. Ya benar, Allah
taala tidak menjadikan sesuatu itu dengan sia-sia melainkan perkara itu ada
tugasnya tersendiri. Lemahnya adalah kita yang tidak mampu mencari
hikmahnya.
Tanpa cinta, kita tidak akan wujud di dunia ini. Tanpa cinta seseorang boleh
berlaku kejam terhadap keluarganya. Tanpa cinta dunia akan gelap gelita tanpa
sinar.


Kerna kurangnya rasa cintalah yang menyebabkan seseorang itu berlaku kejam
terhadap saudaranya. Begitu juga rindu dan cemburu. Tanpa cemburu seseorang
boleh membiarkan kekasihnya melakukan maksiat. Tanpa cemburu maka
seorang isteri akan membiarkan suaminya bermain kayu tiga dan tanpa
cemburu jugalah menyebabkan seseorang akan membiarkan hatinya
dipermainkan orang lain.
Saya tertarik untuk membincangkan perkara ini. Sama-sama ikuti moga kita
mendapat manfaatnya.
Cinta menurut al-Qadhi al-Syeikh Muhammad Ahmad Kan’an di dalam kitabnya
Usul al-Muasyarah al-Zaujiyah ialah kecenderungan hati terhadap perkara yang
dicintai. Cinta sebenarnya adalah perbuatan dan amalan hati. Bukan amalan
anggota badan.


Tanpa cinta ini maka perkahwinan tidak akan berjaya dan bahagia. Perlu
difahami dengan baik, yang memberikan kebahagian dan ketenangan bukanlah
zat cinta itu sendiri, bahkan yang memberikannya kepada kita ialah Pemilik
Cinta itu sendiri iaitu Allah Yang Maha Pencinta dan Pengasih. Cuma cinta ini
sebagai satu wasilah bagi mencapai ketenangan itu.
Menurut al-Qadhi Muhammad Kan’an lagi, kunci utama kepada cinta bermula
dengan pandangan mata. Oleh sebab itulah Baginda sallallahu alaihi wasallam
menggalakkan kepada seseorang yang ingin bertunang agar melihat terlebih
dahulu kepada tunangnya. Agar bertambah rasa cinta dan rindu.
Diriwayatkan oleh al-Imam Ahmad dan al-Nasa’ie rahimahumallah daripada
Saidina Syukbah radhiyallahu anhu katanya:

خطبت امرأة فقال لي رسول ال صلى ال عليه و سلم: هل نظرتَ إليها ؟ قلتُ : ل , قال : فانظر إليها فإنه أحرى أن يؤدَمَ بينكما

Maksudnya: Aku telah meminang seorang wanita. Maka Baginda sallallahu alaihi
wasallam bertanya kepadaku: Adakah kamu telah melihatnya wahai Syukbah?
Aku menjawab: Tidak Ya Rasulallah. Maka sabda Baginda sallallahu alaihi
wasallam: Lihatlah padanya, sesungguhnya dengan melihat itu akan menjadikan
kamu berdua merasa lebih serasi dan berkenan.
Sesuatu yang perlu kita fahami ialah cinta sebenar adalah cinta yang ingin dibina
atas dasar iman. Maksud saya bukan sekadar bercinta tetapi meletakkan
bahawa wanita yang dicintainya dan lelaki yang dicintainya akan dijadikannya
sebagai isteri dan suami. Sabda Baginda sallallahu alaihi wasallam daripada
Saidina Ibn Abbas radhiyallahu anhuma:

لم يُرَ للمتحبَين مثل النكاح
Maksudnya: Tidaklah dilihat kepada dua orang yang sedang bercinta melainkan pernikahan.

Menjadi kesalahan pada remaja sekarang dengan menggunakan nama cinta
seperti yang dilakukan oleh remaja di Barat. Cinta hanya digunakan untuk
memuaskan nafsu serakah dan keinginan yang tak terbendung. Ini satu
kefahaman yang jelas bertentangan dengan maksud sebenar cinta yang
dianjurkan syarak. Cinta yang mereka bina bukan untuk membimbing pasangan
menuju redha Allah taala, malah menjerumuskan ke lembah kehinaan dengan
dosa dan noda yang mereka lakukan ketika bercinta.
Kesalahfahaman sebeginilah yang menyebabkan seseorang itu menganggap
golongan yang berbicara tentang cinta sebagai golongan yang telah lari
daripada jalan tuhan. Seolah-olah meraka telah jauh daripada Allah taala dengan
membicarakan cinta yang dianggap oleh mereka sebagai sesuatu yang jijik
untuk dibicarakan oleh para ulama khususnya.
Cinta merupakan kecenderungan hati seseorang kepada kekasihnya. Amalan
hati tidaklah dikira dosa selagi tidak melaksanakan apa yang terpendam di dalam hati. Seseorang itu tidaklah mampu baginya menghalang kecenderungan
hatinya terhadap seseorang.


Sebaliknya yang akan dinilai oleh Allah taala adalah perbuatan orang bercinta
itu. Jika perbuatan yang mereka lakukan menjurus kepada nafsu dan dosa maka
inilah yang akan dinilai dan disoal oleh Allah taala kelak.
Perkara yang paling selamat bagi menyelamatkan cinta sejati daripada dinodai
dosa dan noda ialah dengan menjauhkan segala perkara yang boleh menjurus ke
arahnya. Perkahwinan adalah satu cara yang terbaik untuk menyemai cinta
sebenar yang dikehendaki syarak.
Namun tidaklah saya nafikan wujudnya percintaan sebelum perkahwinan. Oleh
sebab itulah syarak meletakkan adanya pertunangan. Tidak lain untuk
menyemai cinta dan rasa keserasian antara kedua pasangan tersebut. Batasnya
perlu dijaga. Jika tidak dijaga maka inilah yang akan membawa kemudharatan
dan kepincangan di dalam memahami maksud cinta itu sendiri.


Saya benar-benar tertarik untuk membicarakan tentang cinta ini setelah
membaca sebahagian daripada buku karangan Al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi
rahimahullah 384H-456H . Kitabnya yang berjudul Thuqul Hamamah fi ilfati wal allaf benar-benar memberikan kesan yang mendalam terhadap saya berkenaan cinta.

Tidak keterlaluan jika saya katakan bahawa al-Imam Ibn Hazm al-Andalusi
rahimahullah adalah Guru Besar saya di dalam cinta. Kitab ini ada
terjemahannya yang sangat indah bahasa terjemahnya. Ianya diterjemahkan
oleh Habiburrahman al-Syirazy , penulis novel Ayat-ayat Cinta.


Saya mencadangkan kepada sesiapa yang ingin mengenal cinta agar membaca
buku ini. Sesiapa yang pandai membaca kitab berbahasa Arab sebaiknya terus
mendapatkan pemahaman tentang cinta daripada karangan al-Imam Ibn Hazm
rahimahullah sendiri.Moga kalian lebih memahami tentang cinta.
Sambungan tentang rindu akan saya bicarakan pada post yang akan datang.
Doakan moga diberikan kelapangan oleh Allah taala pemilik cinta yang agung.
Wallahu a’lam.

‎(¯`v´¯) `•.¸.•´sekiranya dia ( M.S.A ) ditakdirkan untukku,satukanlah hati-hati kami, permudahkanlah urusan kami ‎(¯`v´¯) `•.¸.•´

No comments: