Wednesday, December 1, 2010

.. Intan..

LAPANG benar dada Pak Uwei bila pegawai yang bertugas di kaunter pejabat Tabung Haji itu memberitahu nama dia dan isterinya turut tersenarai dalam senarai jemaah yang akan menunaikan fardhu haji pada tahun ini. "Tapi pakcik kena bayar segera bahagian mak cik yang masih tak cukup tiga ribu lagi tu. Selewat-lewatnya minggu depan bayaran mesti dibuat," beritahu pegawai
itu lagi. "Insya Allah encik. Saya akan bayar seberapa segera," janji Pak Uwei. Berita gembira itu ingin segera dikongsi bersama isteri kesayangannya.

Sebaik keluar dari pejabat Tabung Haji dia terus balik ke rumah.
"Pah...oo..Pah!" teriak Pak Uwei sebaik turun dari keretanya. 'Apa bendanya terlolong-lolong ni bang?" tanya Mak Pah. "Ada berita baik ni Pah, nampaknya hajat kita nak ke Mekah tahun ini akan tertunai. Insya Allah dua bulan lagi kita akan ke sana. Tak sabar betul saya, rasa macam Kaabah tu dah melambai-lambai," cerita Pak Uwei dengan wajah berseri-seri. "Betul ke ni bang? Baru semalam si Johari beritahu dia dengan Minah tak dapat pergi. Namanya tidak ada dalam senarai."
"Betullah Pah oii...saya ni baru je balik dari pejabat Tabung Haji. Cuma duit bahagian awak tu kena bayar segera selewat-lewatnya minggu depan."

"Mana kita nak cari duit banyak tu bang? Tiga ribu tu bukan sikit, itu pun lepas duit tambang. Duit kocek mau juga sekurang-kurangnya dalam seribu." Mak Pah merenung gusar wajah suaminya.
"Alah Pah, kita mintalah tolong dengan Muaz dan Balkis. Takkanlah mereka tak nak beri. Bukannya banyak, cuma dua ribu seorang saja." Wajah Pak Uwei semakin berseri-seri. Dia yakin anak- anaknya yang dua orang itu tidak akan menghampakan harapannya. "Lusa hari minggu, saya nak suruh budak-budak tu balik boleh kita berunding," cadang Pak Uwei. "Kalau tak cukup bahagian saya tu, awak ajelah yang pergi dulu. Tak elok kita menyusahkan anak-anak bang, lagipun apa pula kata menantu kita nanti nak ke Mekah minta duit anak-anak." Mak Pah tidak bersetuju dengan rancangan Pak Uwei. "Pah... Muaz dan Balkis tu kan anak-anak kita. Kita dah besarkan mereka, hantar belajar tinggi-tinggi takkan nak hulur dua ribu pun tak boleh lagipun selama ni kita tak pernah minta duit mereka. Tak usahlah awak bimbang Pah, saya yakin anak-anak kita tu tak akan menghampakan kita kali ni." Yakin benar Pak Uwei, harapan yang menggunung digantungkan kepada anaknya. "Tapi bang..." "Dahlah...pegi siapkan kerja awak tu, tak usah nak risau tak tentu hala. Saya nak telefon budak-budak tu," pintas Pak Uwei sebelum Mak Pah melahirkan kebimbangannya.

Lega hati Pak Uwei bila Muaz menyatakan yang dia akan pulang kemudian Pak Uwei menelefon Balkis pula di pejabatnya. Dia hanya menyuruh mereka balik tanpa memberitahu hajatnya. "Insya Allah Kis balik nanti abah.
Emm...abah nak Kis suruh Intan balik sama?" tanya Balkis."Ikut suka kaulah, bagi abah yang pentingnya kau dan Muaz. Intan tu ada ke tidak ke, sama aje. Balik ya...," balas Pak Uwei.

Bukan dia membeza-bezakan anak-anaknya tapi hati tuanya cepat benar panas bila berhadapan dengan Intan. Sikap degil dan tak mahu mendengar kata anaknya itu menyebabkan dia geram. Sudahlah malas belajar tidak seperti Muaz dan Balkis yang berjaya memiliki ijazah. Kalau ditegur sepatah, sepuluh patah tidak menjawab. Masih Pak Uwei ingat gara-gara sikap keras kepala Intan untuk bekerja kilang mereka bertengkar besar tiga tahun lalu.

Kini hubungan mereka seperti orang asing. "Abah tak setuju kau nak kerja kilang kat KL tu. Abah mahu kau sambung belajar lagi." Pak Uwei tidak bersetuju dengan niat Intan yang hendak bekerja kilang. "Intan dah tak minat nak belajar lagi abah, biarlah Intan kerja kilang. Kerja kilang pun bukannya haram." bantah Intan menaikkan darah Pak Uwei. "Aku suruh kau belajar kau tak nak, kau nak kerja kilang. Kau tak tengok berapa ramai anak gadis yang rosak akhlak kerja kilang duk kat KL jauh dari mak bapak, bolehlah buat apa yang kau sukakan. Kau nak bebas macam tu?".

"Itulah abah, selalu nampak yang buruk aje. Bukan semua yang kerja kilang duk kat KL tu jahat abah. Kerja apa dan kat mana pun sama aje, pokok pangkalnya hati. Kalau nak buat jahat dalam rumah pun boleh abah." Intan cuba membuat abahnya faham. "Kenapalah kau seorang ni lain benar dari abang dan kakak kau. Cuba kau tengok Balkis tu tak pernah dia membantah cakap macam kau ni!"."Intan memang tak sama dengan Kak Balkis abah, Intan suka berterus terang kalau tak kena Intan cakap depan-depan bukan membebel kat belakang," balas Intan selamba menyemarakkan bara dalam dada abahnya. "Anak tak mendengar kata, ikut suka kaulah. Kalau kau nak pergi, pergi........aku dah tak larat nak larang. Nak terlentang ke, telangkup ke, gasak kaulah.

Kau buat apa yang kau suka, aku tak nak ambil tahu lagi!" Sejak kejadian itu Pak Uwei memang tidak memperdulikan langsung apa yang Intan nak buat.Namun begitu Intan tetap pulang setiap kali cuti, dia bersikap selamba biarpun abahnya tidak memperdulikannya. Intan selalu menghulur duit tapi hanya kepada maknya sahaja....



To be continued.......

‎(¯`v´¯) `•.¸.•´sekiranya dia ( M.S.A ) ditakdirkan untukku,satukanlah hati-hati kami, permudahkanlah urusan kami ‎(¯`v´¯) `•.¸.•´

No comments: