assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh..
bismillahirrahmanirrahim..
terbaca entry sahabat blogger.. tersentuh hatiku..
terniat utk kongsikan cerpen ini.. tp b4 tu dh mintak kebenaran... entry ni dinukilan oleh qamarguys...
sungguh bermanfaat blog nye.. ya Allah.. syukur kerana Engkau telah memberikan ilham kepada hamba MU
semoga ianya bermanfaat untuk diriku,dirimu, dan kita semua..
semoga ianya bermanfaat untuk diriku,dirimu, dan kita semua..
‘KEJORA TIMUR MILIKKU’
(sebuah adaptasi kisah benar)
Dingin malam mencengkam sendi tulang. Purnama terang membias kelam malam. Di sudut jendela, aku terpamit melihat kejora di sebelah timur itu. Cahayanya persis menari-nari menghiburkan sanubari. Senyumanku terukir sendiri.
“Ana sudah lama menyukai enta!” SMS itu aku tenung berkali-kali. Bermula dari sebuah kebetulan, berakhir dengan seberkas harapan. Tiada kusangka tindakan jujur mencari teman ukhwahfillah di segmen ‘Sembang Pagi IKIM.fm’ itu menemukanku dengannya. Lebih tidak kuduga wanita ini rupa-rupanya siswi satu kolej denganku, malah satu fakulti dan satu kursus pengajian. Bezanya dia sudah berada di semester akhir sedang aku baru di semester tiga. Tidak hairanlah umurnya lebih tua dua tahun daripadaku. “Aah..itu bukan masalah besar. Lebih usia tentu lebih matang dan gantang!” usik hatiku.
Keikhlasannya membantuku dalam pengajian membawa kepada pertemuan pertama kami petang tadi. Kafeteria pelajar tempat dituju. Setibanya di sana, mataku terus menangkap sesusuk tubuh berjubah hijau berkelebung labuh paras dada. Sopan santun dan tunduk malunya saat menghulurkan cebisan nota itu benar-benar menggoncang nurani. Sungguh. Terasa bagaikan ada titisan embun sejuk membasahi relung hati, asyik dan mendamaikan. Ohh..dari manakah bidadari ini muncul? Aku benar-benar tidak pernah melihatnya sebelum ini. Cuma setahuku dia adalah salah seorang exco kepimpinan pelajar di fakultas kami.
“Ana sudah lama menyukai enta!” SMS itu kutenung berulang kali. Mungkinkah pertemuan tadi membulatkan tekadnya untuk berterus-terang. Sememangnya selama ini aku seakan tertarik dengan gaya bahasa dan lenggok tutur katannya saat berhujah dan berbincang, walaupun sekadar di skrin ‘handphone’ cuma. Jika dihitung sudah hampir sepurnama kami berinteraksi sebegitu, berbahas tentang pelbagai isu. Namun, agak jarang kami berbual dan bersoalkan hal peribadi masing-masing.
Tiada kata yang mengungkapkan tanya
Tiada bahasa yang menjelaskan jawapan
Namun rahsia di hati memang sukar dilindung
Bila wajah jiwa mula berlagu ceria
Biar diam berbicara
Jalinan kasih anugerah-Nya
Tetap terbuka..
Tidak kuduga bait-bait puisi yang kubina dibalas tenang olehnya..“Ana sudah lama menyukai enta!”
*****
“Mengapa sayang? Kenapa?! Mengapa baru sekarang kau luahkan segala? Ternyata kesucianmu itu palsu cuma?!.Aah..bagaimana begini?” hatiku meradang saat mendengar bicaranya tika itu. Benakku kabut, nafasku susut. Aliran jernih di pipinya langsung tidak mendatangkan simpatiku. Aku dilema. Dialah wanita yang kudamba selama ini, yang kurasakan bisa bersamaku membina mahligai firdausi, jua famili insani untuk sehidup semati. Dialah insan yang kuharap menjadi pelengkap hidupku, jua ibu kepada anak-anakku. Setelah dia membangkitkan semangatku sehingga muncul ‘top student’ di sini, setelah dia merangsang kepimpinanku sehingga mengepalai persatuan pelajar di sini, kini dia menguji keikhlasan dan kematanganku sehebat ini. Bisakah begini?
*****
Dalam kedinginan petang itu, saat sang hujan mengorbankan diri menlencuni bumi, seorang gadis tertidur sendirian seusai menunaikan solat fardhu Asar. Mungkin agak kelelahan setelah seharian menguruskan majlis pertunangan sepupunya, tengahari tadi. Tiba-tiba, ‘Kreeeek!..’ kedengaran daun pintu biliknya dikuak. Kamar itu ternyata terpisah dengan ruang utama rumah kampung yang agak luas, jauh dari hingar-bingar orang ramai. Anak gadis tersebut langsung tidak menyedari derapan kaki si penceroboh. Lantas dia membiarkan dirinya diusik dan disentuh lembut oleh si jantan rakus. Sebaik tersedar, tersentak si gadis melihatkan kain batik yang melilit pinggangnya telah terlondeh. Aah..dia sudah tidak kuat untuk menghalang, apa lagi mahu melawan. Gadis tulus berkulit mulus akhirnya sama-sama hanyut dalam dunia kenikmatan, menghempaskan mahkotanya pecah berderai!
*****
Di penjuru kamar, aku menangis sendirian. ‘Tiada insan suci yang tidak mempunyai masa lampau dan tiada insan berdosa yang tidak mempunyai masa depan!..’ Untaian hikmah ini hadir di fikiran seperti mahu aku memaafkan dia yang tidak berdosa, seolah-olah mahu emosiku tenang menghadapi dugaan tercipta. Segala suka duka perkenalan kami semenjak dua tahun lalu kembali terimbau di ingatan. Walaupun satu fakulti, ternyata kami mampu menyembunyikan hubungan dari pengetahuan rakan-rakan dan para pensyarah. Tiada istilah ‘dating’ dalam hidup kami, tiada fitnah dunia yang bisa mengganggu keberkatan cinta kami.
Buku ‘Bertaubat Kepada Allah’ tulisan Dr. Yusuf al-Qardhawi itu kucapai dan kubelek kembali. Panjang lebar ulama kontemporari ini membahaskan persoalan ayat ke 26 surah an-Nur: ‘Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk laki-laki yang baik dan laki-laki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik (pula)..’ Adakah harus aku memilih wanita yang tidak lagi suci? Apakah pula yang dikatakan suci itu? Bagaimana jika mereka telah bertaubat dengan seperinya, taubatun nasuha? Aku memang tidak menyalahkannya atas apa yang berlaku. Malah aku pernah menghubungi Zaini, sepupunya yang telah menjamah isi tubuhnya itu! Aah..Zaini ternyata hanyut dengan hidupnya yang tak pernah puas melayan nafsu tanpa rasa malu dan bersalah. Walaupun menuntut dalam jurusan agama di sebuah kolej swasta sebelah pantai timur dan mendalami ilmu-ilmu persilatan Melayu yang gah dengan Islamnya, namun benar hidayah petunjuk hanya milik Dia. Dan hakikat cinta perlu berilmu, perlu beramal dan perlu menjamin taqwa. Inilah ritmanya. Pernah aku lalai dan alpa, sehingga menumbuk dinding setelah dihalang dari menumbuk tingkap berkaca. Mungkin saat itu aku benar-benar kecewa dan buntu, emosi yang terganggu memudahkan syaitan datang mengganggu. Namun begitu, sebenarnya jauh di sudut hati, aku masih yakin bahawa dia adalah wanita suci di sisi Ilahi walaupun kotor di sisi insani. Lantas kugapai diari, kucatat tinta hidupku ini...
True Meaning Of Love:
"Cinta yang sejati & suci tidak memerlukan 'physical contact' yang boleh merosakkannya, sebaliknya ia terbina atas dasar iman, Cinta Ilahi..bermatlamat yang murni & benar, untuk menjadi pasangan yang sah..serta melalui jalan-jalan yang tidak melanggar undang-undang syariat, walaupun ia mungkin hanya bertaut di dasar hati!.."
*****
Dalam sujud di sepertiga malam, aku berseru dan mengadu. “Ya Allah..Berikanlah petunjuk pada hambamu yang hina ini. Berikan aku kekuatan untuk merungkai dilema ini. Jika memang dia yang terbaik untukku, kau satukanlah hatiku dengan hatinya. Jika tidak, engkau redhakanlah aku atas tiap ketentuan-Mu..” Aku pasrah. Aku berserah. Monologku berarah:
Inikan cinta, bertemu dan bersatu tanpa keduanya tahu.
Inikan cinta, tenang di hati tersenyum sendiri.
Inikan cinta, tidak ribut tidak menunjuk untuk hidup.
Inikan cinta, tak perlu bicara namun tetap dirasa.
Inikan cinta, tangis tiba sebelum ketawa ria.
Inikan cinta, sejarah lama kita terima.
Inikan cinta, ilmu dan amal jadi pembela.
Aku bangun menyingkap jendela, kulihat dunia, kubersyukur pada-Nya. Kejora timur itu masih menari-nari menghiburkan sanubari. Senyumanku terukir sendiri. Aku yakin, inilah petunjuk Ilahi, memberi makna cinta sejati
kredit to: ASKARA CINTA ILAHI...
kredit to: ASKARA CINTA ILAHI...
No comments:
Post a Comment